ASAL USUL BAHASA PAHANG
1.0
Pendahuluan
Bahasa Melayu Pahang adalah loghat
atau dialek yang dituturkan oleh masyarakat di Pahang. Menurut Ensikopledia
pula,dialek Pahang merupakan dialek yang dituturkan oleh penduduk negeri
terbesar di Semenanjung Malaysia (35965 km persegi) dan mempunyai dialek daerah
dan ragam khas yang begitu banyak. Secara umumnya masyarakat di Pahang bertutur
dalam dialek Pahang yang berbeza-beza mengikut kawasan tempat tinggal
masing-masing. Penduduk di daerah Kuantan, Pahang kebanyakannya bertutur dalam
dialek Terengganu kerana kedudukan geografi dua buah daerah ini berdekatan
manakala di Pulau Tioman pula bahasa yang dituturkan masyarakatnya hampir sama dengan
loghat Sarawak. Dialek masyarakat di Janda Baik lebih kepada loghat Negeri Sembilan dan Selangor manakala
di Rompin terdapat campur aduk dialek Pahang dan dan dialek Johor. Dialek
Pahang terkenal dengan nadanya yang unik kerana boleh berubah daripada nada rendah
ke tinggi dan dialeknya yang pantas. Loghat Pahang yang tulen biasanya sukar
difahami oleh masyarakat luar kerana bahasanya yang jauh berbeza daripada
bahasa Melayu standard dan percakapannya yang pantas menyukarkan seseorang
memahaminya. Bagi penduduk-penduduk di sini, orang Pahang bertutur mengikut
arus sungai, jika deras arusnya seperti di Ulu Tembeling, Jeram dan Raub maka
lajulah pertuturannya, sebaliknya, jika arusnya perlahan seperti di Kuantan dan
Pekan, maka perlahanlah pula pertuturannya. Ada juga yang mengklasifikasikan
loghat Pahang berdasarkan sungai Pahang, Mereka membahagikan loghat Pahang
kepada tiga kumpulan berdasarkan Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai
Pahang. Sungai Jelai dan Sungai Tembeling bertemu di Kuala Tembeling membentuk
Sungai Pahang yang seterusnya mengalir ke Laut China Selatan.
No comments:
Post a Comment